Kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi teknologi pilihan yang boleh dipinggirkan oleh perusahaan. Di Malaysia, penggunaan AI semakin meluas, tetapi persoalan utama bukan sekadar siapa yang menggunakan AI, melainkan siapa yang memanfaatkannya secara strategik untuk mencipta kelebihan daya saing.

Data terkini menunjukkan kemajuan adopsi AI, namun pengunaan pada tahap asas masih meluas dan hanya sebilangan kecil perusahaan yang mempunyai strategi formal untuk memperluas penggunaan AI merentas fungsi organisasi. Ini menandakan peralihan dari era adopsi kepada keperluan membentuk strategi AI yang jelas.
Adopsi meningkat, tetapi strategi masih kurang
Kajian terbaru mencatatkan 38 persen perniagaan di Malaysia kini menggunakan sekurang-kurangnya satu alat AI secara konsisten, meningkat dari 27 persen pada 2025. Walau bagaimanapun, majoriti pengguna AI—67 persen—masih mengaplikasikannya pada tahap asas, sementara hanya 19 persen organisasi mempunyai strategi formal untuk memperluas penggunaan AI ke pelbagai fungsi.
Angka-angka ini memberi isyarat penting: memiliki teknologi sahaja tidak mencukupi. Dalam konteks persaingan, apabila teknologi yang sama boleh diakses oleh ramai pihak, keunggulan sebenar bergantung kepada bagaimana AI digabungkan dengan sumber manusia, data, proses kerja, inovasi dan model perniagaan untuk menghasilkan nilai yang sukar ditiru pesaing.
AI perlu menjadi kapabiliti, bukan sekadar alat
Salah satu kesilapan umum adalah melihat AI hanya sebagai alat produktiviti yang menjimatkan masa. Memang benar AI boleh mempercepatkan penghasilan laporan, kandungan pemasaran dan analisis data, tetapi kelebihan sebegini mudah dipadam jika semua pesaing menggunakannya dengan cara sama.
Perusahaan yang benar-benar mendapat manfaat strategik ialah yang menggunakan AI untuk memahami tingkah laku pelanggan, meramal permintaan, mempercepat pembangunan produk, mengoptimumkan operasi dan memperbaiki proses pembuatan keputusan. Transformasi ini mengubah AI daripada sekadar ‘tool’ menjadi ‘capability’ yang menyokong strategi perniagaan jangka panjang.
Peranan kepimpinan dan pengurusan merentas jabatan
Agenda AI tidak boleh diletakkan semata-mata pada jabatan teknologi maklumat. AI memberi implikasi luas terhadap strategi korporat, sumber manusia, pemasaran, kewangan, operasi serta aspek risiko dan tadbir urus. Oleh itu, CEO perlu menentukan di mana AI boleh mencipta nilai terbesar bagi organisasi.
Pengurusan sumber manusia perlu memastikan pekerja memiliki kemahiran relevan untuk bekerja bersama AI, lembaga pengarah mesti memahami risiko dan keperluan tadbir urus, manakala pengurus operasi perlu mengenal pasti proses yang boleh diubahsuai. Dengan kata lain, strategi AI mesti menjadi sebahagian daripada strategi perniagaan keseluruhan, bukan sekadar projek IT.
Tenaga kerja dan impak pada perusahaan kecil
Perbincangan mengenai AI sering tertumpu pada kebimbangan kehilangan pekerjaan. Namun persoalan lebih relevan ialah bagaimana pekerjaan akan berubah. Perusahaan yang bijak bukan sahaja menggunakan AI untuk mengurangkan kos, tetapi untuk meningkatkan kemampuan pekerja: menjadikan mereka lebih produktif, kreatif dan cekap dalam membuat keputusan.
Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), tantangan berbeza dengan syarikat besar. PMKS mungkin tidak mampu membina sistem AI mahal, namun mereka boleh mengambil pendekatan strategik dengan mengenal pasti satu atau dua masalah perniagaan kritikal yang boleh diselesaikan AI pada kos yang berpatutan. Strategi AI tidak perlu bermula dengan teknologi besar; ia bermula dengan masalah perniagaan yang tepat.
Menukar pengguna menjadi pencipta nilai
Kejayaan agenda AI negara tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan bilangan perusahaan yang menggunakan AI. Ukuran lebih bermakna ialah seberapa banyak perusahaan yang berjaya meningkatkan produktiviti, menambah hasil, mencipta produk baru, membuka pasaran baru dan menghasilkan pekerjaan bernilai tinggi melalui AI.
AI bukan strategi; AI adalah pemudahcara kepada strategi. Strategi sebenar ialah bagaimana organisasi memilih untuk menggunakan AI bagi mencipta nilai lebih tinggi berbanding pesaing. Dalam persaingan global yang semakin sengit, organisasi yang lambat berubah berisiko kehilangan pelanggan, bakat dan pasaran walaupun memiliki produk dan pengalaman yang baik.
Ancaman terbesar bukanlah AI menggantikan manusia, tetapi organisasi lain yang menggunakan AI secara strategik menggantikan organisasi yang gagal berubah. Oleh itu, setiap pemimpin perniagaan perlu mula bertanya tiga soalan berikut:
- Apa yang perlu kita ubah?
- Di mana AI boleh mencipta nilai terbesar?
- Apakah kelebihan yang boleh kita bina yang pesaing sukar tiru?
Jawapan kepada soalan-soalan ini mungkin menentukan masa depan AI dalam sesebuah organisasi dan kelangsungan perniagaan itu sendiri. Pandangan dalam artikel ini disampaikan oleh Prof. Madya Yusmani Mohd Yusoff, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
